Dalam dunia kerja yang mencabar dan penuh persaingan, majikan tidak hanya mencari calon yang cemerlang dalam akademik, tetapi juga calon yang boleh bertindak dengan bijak di luar bilik kuliah. Oleh itu, para graduan perlu menguasai 3 kemahiran ini untuk mendapatkan pekerjaan, serta berkembang maju dalam kerjaya dan kehidupan sebenar.
1) Kemahiran Teknologi
Graduan hari ini tergolong dalam generasi paling mesra teknologi. Namun, kelebihan ini hanya akan berguna sekiranya dimanfaatkan dengan baik. Anda perlu fahami teknologi semasa, kuasai perisian berkaitan industri, dan mula membiasakan diri dengan kecerdasan buatan (AI) dalam tugas harian. Ini kerana generasi muda yang celik digital berkelebihan besar dalam pasaran kerja yang kini semakin berteraskan teknologi.
2) Kemahiran Kewangan
Ramai anak muda tersilap langkah dengan membuat komitmen kewangan terlalu awal. Kemahiran mengurus kewangan dengan bijak ialah kemahiran asas yang sering dipandang remeh. Anda perlu fahami situasi ekonomi sendiri dengan mengetahui bajet dan simpanan untuk elakkan beban hutang yang tidak perlu. Displin kewangan mencerminkan kematangan seseorang dan ia memberi kesan langsung kepada kestabilan hidup anda.
3) Kemahiran Komunikasi
Komunikasi bukan sekadar tentang bertutur dengan baik. Ia merangkumi kemahiran-kemahiran lain. Contohnya, kemahiran mendengar, kemahiran menulis secara profesional, serta kemahiran berinteraksi dengan pelbagai peringkat usia dan jawatan. Cara anda menyampaikan maklumat, mengurus konflik, atau menghantar e-mel akan mempengaruhi bagaimana orang menilai anda.
Kesimpulannya, sekiranya anda benar-benar ingin berjaya dalam dunia kerja, kuasai tiga kemahiran ini dengan baik. Ini kerana ianya juga merupakan satu bentuk pelaburan jangka panjang untuk masa depan yang lebih stabil, matang, dan berjaya.