Konsep work-life balance (keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi) sangat penting dalam memastikan kesejahteraan mental dan fizikal seseorang individu di samping mengekalkan produktiviti serta kepuasan bekerja. Konsep ini merujuk kepada kemampuan seseorang dalam membahagikan masa dan tenaga dalam memenuhi komitmen kerja tanpa mengabaikan aspek peribadi. Berikut dikongsikan empat cara yang boleh dilakukan untuk amalkan konsep work-life balance:
- Utamakan Keperluan
Perkara utama yang anda perlu lakukan adalah kenal pasti tugas dan aktiviti yang perlu diberi keutamaan. Lakukan tugas tersebut dalam waktu yang telah ditetapkan dan elakkan diri daripada membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah. Fokuskan tenaga dan perhatian kepada perkara yang benar-benar penting dalam kerja dan kehidupan peribadi. Oleh itu, anda dapat menyusun jadual dengan baik bagi urusan kerja dan kehidupan peribadi.
- Jadualkan Waktu Rehat
Ramai yang terlepas pandang aspek kesihatan tubuh badan apabila mula sibuk dengan urusan kerja dan peribadi. Oleh itu, anda perlu mempunyai waktu yang khusus untuk berehat kerana ia amat penting dalam menjaga kesihatan mental dan fizikal. Aktiviti seperti tidur yang mencukupi, rutin pemakanan sihat dan baik serta aktiviti senaman mampu membantu anda mengekalkan tenaga sepanjang hari. Jika mengabaikan waktu rehat boleh menyebabkan keletihan sehingga menyebabkan penurunan prestasi dan produktiviti kerja.
- Buat Perancangan
Untuk mencapai konsep work-life balance, perkara lain yang perlu dilakukan adalah membuat jadual perancangan yang tersusun agar dapat membezakan antara aktiviti kerja dan peribadi. Di samping itu, ia dapat membantu anda menguruskan masa dengan lebih efisien. Perancangan yang baik memberi ruang kepada anda untuk menyeimbangkan perhatian terhadap tuntutan kerja dan keperluan peribadi tanpa mengabaikan salah satu daripadanya.
- Lakukan Aktiviti Sosial
Anda juga boleh melibatkan diri dalam aktiviti sosial bersama rakan, keluarga, atau komuniti masyarakat setempat seperti beriadah atau bersukan dan gotong-royong. Dengan melakukan aktiviti seperti ini bukan sahaja dapat mengisi waktu dengan aktiviti berfaedah malah dapat mengukuhkan hubungan dengan orang sekitar sambil memberikan rehat kepada fizikal dan mental daripada tekanan kerja. Ia juga memberi peluang kepada anda melepaskan tekanan kerja dan membina hubungan positif di luar tempat kerja.
Dengan mengamalkan empat langkah ini, anda bukan sahaja dapat mencapai konsep work-life balance malah dapat menikmati kehidupan yang lebih bermakna dan harmoni.