Tindakan membina rangkaian profesional bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan dalam dunia pekerjaan hari ini. Hal ini bukan sahaja boleh membantu anda membuka pintu kepada peluang pekerjaan malah memperluas pengetahuan industri di samping memperkukuh hubungan profesional bersama orang di sekeliling anda. Berikut adalah empat cara mudah untuk membina rangkaian profesional dengan berkesan:
- Mula dengan Orang yang Sudah Anda Kenali
Langkah pertama yang paling mudah adalah dengan memanfaatkan hubungan yang sedia ada sudah berada di sekeliling anda seperti rakan di tempat kerja, kenalan dalam bidang yang sama dan individu yang paling dekat seperti ahli keluarga atau kenalan peribadi. Kadang-kala peluang terbaik berada lebih dekat daripada yang anda jangka seperti rakan-rakan di tempat kerja pastinya mereka sudah memahami bidang kerja anda dan mempunyai hubungan yang lebih luas dalam industri.
- Hadiri Acara Industri
Acara seperti seminar, persidangan, atau bengkel adalah platform terbaik untuk bertemu orang baru dalam bidang anda. Antara perkara yang perlu anda ambil berat adalah sentiasa bersiap sedia untuk memperkenalkan diri dengan menyediakan perkenalan ringkas yang menarik (elevator pitch); siapa anda dan apa yang anda lakukan. Acara seperti ini bukan sahaja dapat menambah kenalan tetapi membolehkan anda belajar tentang trend terkini dalam industri.
- Libatkan Diri dalam Aktiviti Komuniti
Menyertai aktiviti komuniti adalah salah satu cara yang paling santai dan semula jadi untuk membina rangkaian profesional. Selain dapat berinteraksi dengan orang baru, anda juga berpeluang mengembangkan kemahiran diri serta memberi manfaat kepada masyarakat. Menyertai aktiviti gotong-royong atau kelab pembangunan kerjaya dan industri memberi peluang kepada anda untuk berjumpa dan berkenalan dengan ramai individu yang mempunyai pelbagai latar-belakang. Maka, hubungan akan terjalin secara lebih santai dan semula jadi.
- Gunakan Media Sosial Secara Strategik
Kemajuan teknologi telah mempengaruhi peningkatan kewujudan pelbagai jenis platform untuk berhubung setiap hari. Maka, anda perlu manfaatkan setiap daripadanya dalam membina rangkaian profesional seperti melalui aplikasi LinkedIn, Twitter, Facebook dan banyak lagi. Melalui platform tersebut, anda boleh mengikuti mana-mana kumpulan yang bersesuaian dengan industri dan bidang kerjaya yang diminati untuk mengetahui perkembangan terkini di samping menyertai perbualan yang dibincangkan
Kesimpulannya, untuk membina rangkaian profesional memerlukan usaha dan strategi untuk dapatkan keputusan yang memuaskan. Jom bina rangkaian profesional anda sekarang untuk masa depan yang lebih cerah!