Banyak faktor yang memberi pengaruh terhadap keputusan seseorang individu untuk menukar kerjaya seperti keadaan ekonomi semasa, perubahan dalam sektor yang diceburi dan juga minat. Namun begitu, tindakan untuk menukar kerjaya bukanlah keputusan yang boleh dibuat dengan sambil lewa. Langkah-langkah yang terancang perlu diambil untuk memastikan peralihan tersebut adalah satu keputusan yang bijak dan menguntungkan.
Berikut adalah 4 langkah penting yang patut diambil sebelum anda menukar pekerjaan:
1. Kaji Pasaran Kerja
Sebelum membuat keputusan untuk mencari pekerjaan baharu, penting untuk anda memahami keadaan pasaran kerja semasa, sektor dan industri di samping minat yang anda miliki. Apakah kemahiran yang paling dicari oleh majikan dalam industri tersebut? Apakah keadaan semasa bagi sektor dan industri yang anda ingin cuba? Jawapan kepada soalan-soalan ini dapat membantu anda mengenal pasti peluang dan cabaran yang mungkin timbul apabila anda membuat langkah seterusnya. Pastikan anda membuat penyelidikan yang mendalam dan teliti melalui portal-portal pekerjaan dan laporan tentang sesebuah sektor industri tersebut.
2. Tingkatkan Kemahiran
Dunia kerjaya hari ini menuntut pekerja yang bukan sahaja cekap tetapi juga sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi semasa. Dengan adanya teknologi AI (Artificial Intelligence) yang semakin meluas di Malaysia, anda boleh mengambil inisiatif untuk meningkatkan kemahiran yang sedia ada atau baru. Anda juga boleh sertai kursus-kursus berkaitan kemahiran tertentu yang kini banyak dilakukan secara atas talian atau menghadiri bengkel yang berkaitan dengan kerjaya impian anda. Pelaburan yag dibuat untuk menambah kemahiran baharu bukan sahaja meningkatkan daya saing anda, malah membina keyakinan diri semasa proses temuduga.
3. Kemas Kini Resume dan Profil LinkedIn
Resume dan profil LinkedIn adalah cerminan diri anda sebagai calon pekerja. Anda perlu pastikan resume dikemas kini berkesesuaian dengan peranan yang anda inginkan serta maklumat yang terkini secara ringkas dan tepat. Perbaharui juga profil LinkedIn anda dengan menambah kata kunci yang relevan untuk menarik perhatian majikan. Profil yang profesional dan menarik mampu meninggalkan kesan pertama yang positif kepada bakal majikan.
4. Pertimbangkan Keputusan Dengan Bijak
Pertimbangkan keputusan anda dengan teliti setelah menerima tawaran. Adakah pekerjaan baharu ini selari dengan matlamat kerjaya dan kehidupan anda? Ambil kira faktor-faktor seperti budaya kerja, faedah tambahan, dan peluang perkembangan kerjaya. Jangan terburu-buru ketika membuat keputusan!
Konklusinya, menukar pekerjaan adalah satu langkah besar yang memerlukan persediaan yang teliti. Dengan lakukan langkah-langkah tersebut, anda dapat memastikan perubahan kerjaya yang lebih lancar dan menguntungkan. Berhati-hati dalam setiap langkah, dan jadikan perubahan ini sebagai lonjakan untuk kejayaan kerjaya anda yang seterusnya.