Pernahkah anda berasa ‘down’ selepas selesai menjalani sesi temu duga kerja? Pernahkah anda berasa jawapan yang anda berikan kurang meyakinkan? Perkara ini lazim berlaku kepada calon temu duga kerana persediaan yang dilakukan tidak menyeluruh.
Temu duga merupakan pentas utama untuk anda mempersembahkan diri anda sebagai calon yang sesuai dan terbaik untuk menggalas tanggungjawab yang ditawarkan. Oleh itu, penting untuk mengetahui dan fahami bentuk soalan yang sering dikemukakan supaya anda lebih bersedia.
- Soalan Pengenalan Diri (Introduction Question)
Soalan ini merupakan peluang untuk anda memperkenalkan diri secara profesional. Oleh itu, gunakannya untuk menonjolkan kekuatan dan keunikan diri, serta nilai tambah yang anda miliki. Anda dinasihatkan untuk bina jawapan yang tersusun dan meyakinkan.
- Soalan Teknikal (Technical Question)
Para panel akan mula menguji pengetahuan serta kemahiran anda terhadap bidang kerja yang anda mohon. Pastikan anda melakukan ulangkaji dan kuasai aspek teknikal lain yang relevan.
- Soalan Tingkah Laku (Behavioral Question)
Soalan ini adalah untuk menguji cara anda berfikir dan bertindak berdasarkan situasi yang diberikan. Anda boleh aplikasikan teknik menjawab seperti STAR (Situation, Task, Action, Result) yang akan membantu dalam menyusun jawapan dengan baik.
- Soalan Berkaitan Syarikat (Company Specific Question)
Para panel ingin mengetahui sejauh mana anda mengenali syarikat, termasuklah produk atau perkhidmatan yang ditawarkan, dan industri yang diceburi. Jawapan yang baik menunjukkan kesungguhan anda untuk menyumbang secara strategik.
- Soalan Psikologi (Psychological Question)
Soalan ini diberikan untuk menilai karakter dan kematangan anda dari segi emosi dan etika kerja. Ketelusan dan ketenangan ialah kunci utama untuk menjawab dengan baik.
Kesimpulannya, kejayaan dalam temu duga bukan bergantung pada kelayakan semata-mata, tetapi juga tahap persediaan anda. Kenali soalan, susun jawapan dengan baik, dan hadirlah temu duga dengan yakin. Semoga berjaya!