Burnout di tempat kerja adalah satu perkara yang serius yang boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan mental dan fizikal seseorang. Mengenalpasti tanda-tanda yang anda miliki pada peringkat awal adalah sangat penting supaya tindakan menguruskan tanda-tanda tersebut dapat diambil sebelum ia bertambah serius. Tanda-tanda awal ini biasanya berlaku dalam suatu tempoh masa dan berulang-ulang. Berikut merupakan 5 tanda anda sedang mengalami burnout di tempat kerja.
Keletihan Yang Berpanjangan
Jika anda merasa keletihan yang berpanjangan walaupun selepas berehat atau pun tidur, ini mungkin menjadi tanda awal burnout. Keletihan yang teruk juga boleh mengganggu tidur anda dan menyebabkan prestasi kerja yang menurun.
Kualiti Kerja Tidak Meningkat
Apabila anda kehilangan minat terhadap pekerjaan anda dan tidak lagi berasa termotivasi untuk menyelesaikan tugas-tugas, ini mungkin menjadi petanda burnout. Anda mungkin merasa seperti melakukan perkara yang sama berulang kali tanpa melihat hasil yang positif. Anda merasa bahawa usaha yang anda lakukan tidak menghasilkan hasil yang diharapkan. Prestasi dan produktiviti kerja menurun atau semakin berkurang. KItaran ini akan terus berulang selagi mana ia tidak diatasi secepat mungkin.
Mempunyai Perasaan Negatif
Burnout boleh menyebabkan perasaan kehampaan yang mendalam dan keletihan emosi yang teruk. Anda mungkin merasa terganggu, mudah tersinggung, atau cepat marah tanpa sebab yang jelas. Perasaan negatif ini boleh mempengaruhi hubungan dengan rakan sekerja. Lebih menyedihkan sekiranya ia mempengaruhi emosi anda apabila pulang ke rumah dan menyebabkan keluarga, pasangan atau anak-anak turut merasa tempiasnya.
Menyendiri
Anda mungkin mula menjauhkan diri dari rakan sekeria dan aktiviti sosial di tempat kerja. Anda lebih suka berdiam diri serta mengelak daripada interaksi sosial. Tindakan ini menyebabkan anda merasakan tiada siapa yang dapat memahami diri anda lalu tindakan ini menyebabkan anda akan lebih jauh tersisih sewaktu di tempat kerja.
Kurang Keseimbangan Antara Kerja Dan Hidup
Anda mungkin menghadapi kesulitan dalam menjaga keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi. Anda mungkin menghabiskan terlalu banyak masa di tempat kerja tanpa memberi perhatian yang mencukupi kepada kehidupan peribadi.
Jika anda mengalami beberapa atau kesemua tanda-tanda ini, adalah penting untuk mengambil langkah-langkah untuk menguruskan burnout di tempat kerja. Ini mungkin termasuk mencari bantuan daripada kaunselor atau mereka yang bertauliah dan pakar dalam kesihatan mental, mencari sokongan dari rakan sekerja atau atasan, dan mengambil masa untuk berehat dan mengambil kira keperluan peribadi anda. Ingatlah bahawa kesihatan mental adalah penting, dan anda tidak perlu melalui proses ini sendiri.
Anda tidak sendiri!