Tahniah buat semua pelajar yang sudah menyelesaikan peperiksaan SPM 2023. Hampir sebulan lebih anda semua bertungkus-lumus dalam menjawab semua subjek yang telah didaftarkan. Kami mendoakan kejayaan yang cemerlang buat tuan-tuan dan cik puan.
Sementara menunggu keputusan SPM yang bakal diumumkan 27 Mei 2024 nanti, pastinya ada di antara anda yang mempunyai banyak perkara yang telah dirancang bagi mengisi waktu cuti yang lama.
Bagi anda yang belum jalankan apa-apa aktiviti bagi mengisi masa terluang, pengisian kali ini adalah untuk anda!
Berikut merupakan cadangan aktiviti yang anda boleh lakukan:
- Pelajari kemahiran baru
Anda boleh pelajari kemahiran baru atau tingkatkan kemahiran sedia ada serta mengasah bakat yang anda miliki dengan mengikuti mana-mana kursus atau program yang berasaskan kemahiran yang bersesuaian dengan minat anda seperti kemahiran reka bentuk grafik, menjahit, memasak, bertukang dan banyak lagi.
Kebanyakan program sedia ada menyediakan kelas dalam tempoh yang pendek dengan alat bantu mengajar yang sangat berguna serta tenaga pengajar yang berpengalaman dalam sektor terpilih. Di akhir program, anda bakal menerima sijil penghargaan serta pengalaman berharga yang boleh digunakan untuk masa hadapan.
- Cari kerja
Pelbagai sektor pekerjaan kini membuka peluang untuk pelajar lepasan SPM untuk bekerja bersama mereka, sama ada secara separuh masa (part time) atau sepenuh masa. Banyak perkara yang anda bakal diperolehi seperti ilmu dan pengalaman yang bernilai, bahkan anda akan mampu menambah baik komunikasi, interaksi dan pergaulan bersama orang sekeliling serta membuka pandangan yang baharu kepada anda tentang realiti kehidupan.
Anda juga berpeluang untuk merasai imbuhan wang hasil daripada kerja yang anda telah usahakan!
- Menambah baik perkara di rumah
Membantu ibu bapa anda dalam membuat kerja-kerja di rumah, sebagai contoh menanam pokok bunga serta sayur-sayuran, membaiki peralatan elektrik yang telah rosak seperti lampu dan kipas dan banyak lagi. Hal ini bukan sahaja mampu melatih kemahiran baru dalam diri anda malah ia membantu menambah baik keadaan dan menceriakan kawasan rumah.
Anda juga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan yang ada dengan aktiviti yang berfaedah.
- Ambil lesen memandu
Ini merupakan antara saat yang dinantikan oleh semua pelajar lepasan SPM selepas menamatkan zaman persekolahan. Berbekalkan jangka masa yang banyak sewaktu cuti panjang, ia dapat dihabiskan dengan pergi ke kelas latihan memandu berdekatan rumah anda.
- Jadi sukarelawan
Anda boleh mengikuti aktiviti sukarelawan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak NGO atau swasta mengikut lokasi dan masa yang bersesuaian. Ia merupakan salah satu bentuk aktiviti kemasyarakatan yang boleh memupuk semangat berpasukan dan perpaduan tidak kira jantina dan usia serta dapat meningkatkan kemahiran sosial anda.
Apa juga pilihan aktiviti yang ingin atau sedang dijalankan, yang paling penting adalah dengan tidak membuang masa anda dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Anda boleh mencari maklumat berkenaan kursus dan program pengajian yang ingin anda ceburi berserta tawaran biasiswa yang bersesuaian bagi menyambung pengajian tinggi.
Muat turun maklumat biasiswa di sini -> Senarai Biasiswa Lepasan SPM 2023
Ketahui laluan kerjaya selepas SPM di sini -> Laluan Kerjaya Selepas SPM 2023
Anda mempunyai pertanyaan tentang kerjaya selepas SPM? Mahu dapatkan tips untuk lepasan SPM? Cara cari biasiswa dan yang lain? Sertai dan tanyakan di – > Komuniti Kerjaya Career Cube
Nantikan keputusan SPM 2023, tarikh & semakan mulai 27 Mei 2024.
Selamat berjaya!