“Artificial Intelligence” atau ‘AI’ bakal merampas pekerjaan kita? Apa yang patut kita lakukan? Berdiam diri sahajakah atau ambil tindakan supaya ia tidak menjadi kenyataan? Sekiranya ada tindakan yang perlu diambil, apakah tindakan tersebut?
Baru-baru ini satu kenyataan yang dikeluarkan di dalam laporan ‘The Future of Jobs’ oleh Forum Ekonomi Dunia yang cukup menarik perhatian ramai iaitu berkenaan jangkaan ‘AI’ bakal menyebabkan 83 juta pekerjaan hilang seluruh dunia dan akan membuka 69 juta jenis pekerjaan baru. Ini bermaksud ini kita akan ada jurang 14 juta pekerjaan di situ.
Terlintas sekejap filem I-Robot lakonan Will Smith pada tahun 2004. Gerun pula bila memikirkan gambaran yang dilakonkan dalam filem tersebut.
Dalam artikel ini, kita akan melihat bagaimanakah ‘AI’ memainkan peranan dalam pekerjaan masa kini dan apakah persediaan yang perlu kita ambil supaya kita boleh kekal relevan di dalam dunia pekerjaan kita sekarang.
‘AI’ atau kecerdasan buatan semakin popular dalam industri sejak akhir 2022 sejak wujudnya satu aplikasi yang bernama ChatGPT. Aplikasi yang menggunakan kercerdasan buatan kini semakin banyak digunakan dalam pelbagai sektor sehinggakan pelbagai isu timbul terutamanya samada ia memudahkan atau semakin menyukarkan?
Realitinya kewujudan ‘AI’ ini bukanlah untuk menggantikan pekerja manusia dan tetapi ia memudahkan proses kerja. Kalau dulu satu kerja itu mungkin mengambil masa lebih daripada dua hari untuk disiapkan, atau pun lebih lama, dengan penggunaann aplikasi atau mesin yang ditambah dengan ‘AI’, kerja itu boleh mengambil masa yang lebih singkat, sesingkat hanya beberapa jam atau pun beberapa minit sahaja.
Contohnya, aplikasi ‘AI’ boleh digunakan untuk mengumpulkan data dan memberikan analisis tentang dapatan dengan hanya satu klik. Ini membantu pekerja tersebut membawa data tersebut kepada langkah seterusnya dengan lebih cepat.
Terdapat pelbagai aplikasi yang kini menggunakan ‘AI’ dan ia digunakan dalam kerja sehari-hari di pejabat. Justeru, sebagai pekerja, kemahiran menggunakan aplikasi atau mesin dengan ‘AI’ dalam mempercepatkan satu-satu tugasan boleh menjadi satu nilai tambah untuk kita sebagai calon.
Selain itu, kebimbangan bahawa pekerja manusia akan digantikan oleh mesin perlu digantikan dengan soalan apakah yang boleh dilakukan oleh manusia tetapi tidak boleh dijalankan oleh mesin? Pekerja manusia mempunyai kelebihan yang tidak dapat disaingi oleh ‘AI’, seperti keupayaan untuk berfikir secara kreatif dan menjalin hubungan manusiawi dengan pelanggan.
Kemahiran bukan teknikal atau yang kita panggil ‘soft skill’ seperti berfikir secara kreatif, kepimpinan dan berkomunikasi secara efektif adalah pelbagai lagi kemahiran yang hanya boleh dijalankan oleh manusia. ‘AI’ wujud dengan mengaplikasikan maklumat yang sedia ada. Tanpa manusia yang memberikan input dengan maklumat yang baru, ‘AI’ akan terus membuat tafsiran dengan maklumat sedia ada.
Kesimpulannya, ‘AI’ bukanlah sesuatu yang menakutkan atau akan memberikan impak negatif pada pekerjaan. Sebaliknya, ia boleh menjadi alat yang berguna untuk membantu pekerja mencapai sasaran dan meningkatkan prestasi serta produktiviti seseorang.