Setiap pelajar berhak untuk berjaya dalam bidang pengajian yang diceburi serta mencapai impian kerjaya yang diidamkan. Bagi merealisasikan hasrat tersebut, bengkel Persediaan Temu Duga ini direka khusus untuk memberi pendedahan kepada pelajar dalam menghadapi proses temu duga bagi mendapatkan penajaan pendidikan.
Bengkel ini menawarkan panduan menyeluruh serta pendedahan secara realistik terhadap keseluruhan proses temu duga, iaitu daripada aspek penampilan diri yang profesional, penyediaan resume yang berkesan, sehinggalah kepada pemahaman mendalam tentang tatacara dan etika temu duga sebenar. Pendekatan komprehensif ini memberikan peserta kelebihan daya saing dalam mencapai kecemerlangan akademik dan kerjaya.
Peserta akan dibimbing dalam membina kemahiran temu duga dan memperkukuh teknik komunikasi. Melalui penyertaan dalam bengkel ini, para pelajar akan memperoleh ilmu, kemahiran dan keyakinan yang diperlukan untuk menyerlah semasa sesi temu duga seterusnya meningkatkan peluang bagi memperoleh biasiswa atau penajaan yang menjadi kunci kepada masa depan akademik dan profesional mereka.
Diterajui oleh barisan jurulatih dan tenaga pengajar berpengalaman, bengkel ini memberi latihan yang bersifat peribadi dan interaktif melalui beberapa modul yang disediakan.
Modul 1: Imej dan Penampilan Diri

Sesi pertama dimulakan dengan pengenalan bengkel serta penerangan objektif program. Para pelajar diperkenalkan kepada konsep imej diri dan kepentingan penampilan profesional semasa temu duga. Aktiviti menarik seperti demonstrasi dandanan rambut, visual shopping, dan spot check penampilan dijalankan bagi meningkatkan kesedaran tentang kebersihan, kekemasan, dan kesesuaian pakaian dalam konteks profesional.
Modul 2: Penyediaan Resume dan Profil Dalam Talian
Seterusnya, bengkel diteruskan dengan modul Penulisan Resume. Pelajar dibimbing langkah demi langkah untuk menghasilkan resume yang lengkap, padat dan menarik perhatian majikan. Mereka turut diajar cara membina profil dalam talian (online profile) agar lebih menonjol dalam platform profesional seperti LinkedIn. Sesi ini memberi peluang kepada pelajar mempraktikkan kemahiran penulisan serta memahami elemen penting dalam membina jenama diri (personal branding).
Modul 3: Etika dan Tatacara Temu Duga
Dalam modul ini, pelajar didedahkan kepada etika komunikasi dan tingkah laku profesional. Melalui demonstrasi yang dijalankan di atas pentas, mereka mempelajari cara berjabat tangan, duduk, serta menghulurkan dokumen dengan sopan. Aktiviti ini bertujuan membentuk keyakinan diri dan membiasakan pelajar dengan protokol asas yang sering dinilai oleh panel penemuduga.
Modul 4: Komunikasi dan Persembahan Diri
Modul keempat memberi penekanan kepada kemahiran komunikasi, melibatkan latihan penulisan, perbincangan kumpulan, dan sesi soal jawab. Aktiviti ini membantu pelajar melatih keupayaan menyusun idea, menjawab soalan dengan tepat, serta menonjolkan keperibadian positif sewaktu berinteraksi.
Sesi Mock Interview dan Penilaian Akhir

Bengkel diakhiri dengan sesi Mock Interview, di mana pelajar menjalani simulasi temu duga sebenar bersama panel profesional. Setiap pelajar dinilai dari segi penampilan, komunikasi, dan keyakinan diri. Hasil penilaian direkodkan serta dibincangkan bagi memberi maklum balas bagi setiap pelajar. Program diakhiri dengan sesi rumusan dan pengiktirafan pelajar terbaik (Impressive), diikuti penyampaian sijil serta sesi bergambar bersama pihak pengurusan.
Bengkel ini bukan sekadar latihan persediaan temu duga, tetapi sebuah pengalaman menyeluruh yang membentuk disiplin, keyakinan, dan profesionalisme dalam diri pelajar. Melalui gabungan teori dan praktikal, peserta bukan sahaja bersedia menghadapi temu duga, malah melangkah ke dunia kerjaya dengan penuh yakin dan berwibawa.





