Berapakah gaji yang sesuai untuk diterima sebagai seorang graduan? Adakah saya dibenarkan untuk berunding gaji atau terima sahaja gaji yang ditawarkan?
Antara soalan yang kerap kali kami terima berkaitan dengan gaji. Jadi kali ini, Career Cube akan kongsikan tip untuk membuat rundingan gaji sewaktu sesi temu duga.
Secara umumnya, gaji asas yang ditawarkan bagi individu yang mempunyai ijazah bermula daripada RM 2,200 sehingga RM 2,800. Anda boleh melihat anggaran gaji berdasarkan industri pekerjaan dan tahap jawatan berdasarkan panduan yang telah dikeluarkan oleh badan-badan atau organisasi yang membuat kajian kepada gaji yang ditawarkan oleh majikan mengikut jawatan dan industri. Anda boleh rujuk pada laman sesawang Salary Guide Malaysia contohnya seperti yang dikeluarkan oleh JobStreet.com atau PersoKelly Services.
Berikut adalah tip yang boleh anda gunakan:
1.Rundingan gaji sepatutnya dimulakan oleh pihak penemu duga. Adalah menjadi kurang sesuai apabila semasa temu duga, anda yang memulakan rundingan gaji tanpa pihak penemu duga yang terlebih dahulu bertanya tentangnya. Apabila pihak penemu duga memulakan rundingan, ini bermakna anda sudah hampir berjaya mendapat pekerjaan tersebut dan pada ketika inilah rundingan sepatutnya bermula.
2.Tidak digalakkan untuk hanya menyatakan nombor tanpa ada sebarang sebab. Maksudnya, anda perlu bersedia untuk menjawab mengapa nilai tersebut menjadi pilihan anda contohnya anda telah membuat rujukan pada garis panduan dan juga sekiranya ada kemahiran-kemahiran tertentu yang ingin ditawarkan sesuai dengan nilai gaji yang diminta.
3. Terima sahaja dahulu apa yang ditawarkan dan kemudian runding semula. Dalam dunia sebenar, apabila anda diterima bekerja di sesebuah syarikat, tidak bermaksud anda akan diserap terus sebagai pekerja tetap. Kebanyakan syarikat kini bertindak meletakkan tempoh percubaan (probation) selama 3 hingga 6 bulan. Sekiranya anda berjaya untuk mencapai objektif tugasan atau menunjukkan peningkatan dalam prestasi kerja dalam jangka masa tersebut, maka pertimbangan untuk menyerap anda untuk jawatan tetap adalah lebih tinggi. Kebiasaannya tempoh peralihan di antara tempoh percubaan dan tetap ini biasanya adalah tempoh yang sesuai untuk membincangkan tentang gaji semula.
Namun, terdapat juga kaedah lain seperti memberikan kontrak sama ada selama 6 bulan atau setahun dahulu bagi membuat penilaian terhadap cara kerja anda. Namun begitu, tahap jawatan ini mempunyai manfaat kerja yang berbeza. Sebagai contoh, sekiranya anda adalah seorang pekerja kontrak, banyak manfaat yang tidak dapat dinikmati seperti kelayakan cuti tahunan, cuti sakit berbayar dan lain-lain.
Jangan bimbang sekiranya anda ditawarkan dengan gaji yang rendah. Perkara utama yang anda perlu buat sekarang adalah cari industri pekerjaan yang dinginkan berkesesuaian dengan nilai yang dapat anda tawarkan kepada syarikat.
All the best untuk semua!