“Syarikat tidak begitu mengambil berat tentang pengalaman anda”.
Ayat ini cukup menggembirakan hati sesetengah pihak tetapi bagi yang sudah mempunyai pengalaman, anda mungkin kurang bersetuju dengan pernyataan ini. Mari kita dengar pula pernyataan ini. “Majikan lebih mengambil berat tentang perkara yang boleh anda lakukan untuk mereka jika mereka mengambil anda sebagai pekerja”. Dengan kata lain, bagaimana anda boleh meyakinkan bakal majikan bahawa, dengan mengambil anda sebagai salah seorang pekerja di syarikat tersebut, anda boleh membantu dari sudut pertumbuhan serta mencapai objektif syarikat.
Realitinya sembilan puluh sembilan peratus pencari kerja bergantung pada pengalaman lalu sebagai satu-satunya cara untuk menyampaikan nilai yang dimiliki. Itu akan memaksa syarikat untuk menilai calon hanya berdasarkan parameter tersebut. Mari kita lihat contoh situasi ini;
Calon A yang berjaya meningkatkan nilai jualan sebanyak tiga puluh peratus pada tahun 2017 untuk syarikat yang serupa dengan syarikat anda?
Atau…
Calon B, yang juga mempunyai rekod jualan yang kukuh pada pengalaman yang lepas, tetapi muncul dengan rancangan terperinci bagi meningkatkan nilai jualan syarikat anda sebanyak tiga puluh peratus dalam tempoh dua belas bulan akan datang?
Jika anda seorang majikan, siapakah yang akan anda ambil bekerja? Sudah tentu calon B. Ini adalah kerana bukan sahaja penilaian dari aspek pengalaman semata-mata, tetapi juga calon mampu untuk memberikan gambaran yang jelas tentang langkah yang bakal diambil dalam membantu untuk meningkatkan nilai jualan. Calon ini juga jelas lebih bersedia dan sudah membuat kajian terhadap syarikat sebelum ke temu duga.
Namun, ini tidak menafikan kepentingan latar belakang, serta sikap yang calon tonjolkan sepanjang sesi temu duga tersebut. Justeru itu, jika anda hanya bergantung pada pengalaman lepas semata-mata untuk menyampaikan nilai anda, anda akan tenggelam dalam persaingan kerana terdapat calon yang mungkin lebih berpengalaman daripada anda.
Sebagai langkah penambahbaikan, sekiranya anda mahukan lebih banyak tawaran, bawa jawapan temu duga anda ke peringkat yang seterusnya, contohnya; Jangan hanya berkata “Saya telah membantu syarikat XYZ Sdn. Bhd. meningkatkan jualan sebanyak enam belas peratus pada tahun 2020”. Sebaliknya, lakukan sedikit kajian tentang syarikat sasaran anda dan kenal pasti tiga langkah penambahbaikan atau cadangan yang akan membantu mereka meningkatkan kadar jualan mereka.
Contoh kedua, jangan berhenti setelah menerangkan “Saya membantu syarikat XYZ Sdn. Bhd. membuat penjimatan sebanyak RM30 ribu dalam tempoh enam bulan dengan menambah baik proses kerja”. Sebaliknya tambahkan dengan beberapa cadangan untuk membantu bakal majikan melakukan perkara yang sama. Selamat mencuba.