Keputusan SPM 2023 (tahun 2024) akan diumumkan tidak lama lagi. Sudah pasti ada di kalangan anda yang masih keliru dalam membuat pilihan untuk menyambung pelajaran. Ramai yang bertanya kepada Career Cube,
“Apakah laluan kerjaya selepas SPM? Apakah hala tuju pelajar selepas mendapat keputusan SPM? Selepas SPM, hendak sambung belajar di mana? Selepas SPM, hendak buat apa? Selepas SPM, hendak kerja apa? Pilihan yang mana yang lebih baik, adakah asasi, STPM, matrikulasi atau diploma? Apakah syarat kemasukan universiti bagi lepasan SPM?”
Terdapat banyak peluang untuk anda sambung belajar selepas SPM. Admin nasihatkan pilihlah berdasarkan minat anda, jangan ikut kawan tau! Berbincanglah dengan mereka yang paling rapat ketika membuat pilihan.
Antara haluan pendidikan yang boleh dipilih bagi lepasan SPM adalah;
1. A – Level
A-Level adalah salah satu kelayakan pra-universiti yang diiktiraf di seluruh dunia, terutamanya di negara-negara Komanwel. Program ini biasanya mengambil masa dua tahun untuk diselesaikan dan ditawarkan oleh pelbagai sekolah antarabangsa dan institusi pendidikan di Malaysia. A-Level memberikan calon fleksibiliti untuk memilih mata pelajaran yang sesuai dengan minat dan cita-cita kerjaya mereka, seperti Sains, Matematik, Ekonomi, dan Kesusasteraan Inggeris.
Pelajar yang cemerlang dalam A-Level mempunyai peluang besar untuk melanjutkan pengajian di universiti-universiti terkemuka di luar negara, termasuk di United Kingdom, Australia, dan Amerika Syarikat. Banyak universiti tempatan seperti Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga menerima kelayakan A-Level sebagai syarat kemasukan ke program ijazah mereka.
2. Matrikulasi
Jika anda tidak dapat memenuhi kelayakan program asasi, anda masih berpeluang untuk memilih pengajian di kolej-kolej matrikulasi. Kolej ini turut menawarkan bidang Sains Hayat, Sains Fizikal atau Perakaunan. Tempoh masa pengajian yang ditawarkan adalah berdasarkan keputusan SPM, ada yang menawarkan program setahun dan dua tahun.
Lepasan matrikulasi layak untuk menyambung pengajian mereka ke universiti awam di peringkat ijazah sarjana muda setelah tamat belajar. Anda bebas untuk memilih jurusan dan universiti tertakluk kepada syarat yang telah digariskan. Ramai lepasan matrikulasi yang telah berjaya ke peringkat ijazah.
3. Asasi
Asasi adalah salah satu fast-track untuk ke peringkat ijazah kerana hanya mengambil masa lebih kurang dua semester sahaja. Bagi mereka yang mendapat keputusan yang cemerlang, anda boleh memilih mana-mana universiti yang menawarkan program asasi. Terdapat beberapa universiti awam yang menawarkan program asasi antaranya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM), dan Universiti Teknologi Mara (UiTM). Setiap universiti menawarkan jurusan yang berbeza antaranya jurusan sains, perubatan, dan undang-undang.
Majoriti universiti menyediakan tempat khas bagi lepasan universiti mereka untuk menyambung pengajian ijazah kelak. Namun ia tidak menjamin sekiranya anda tidak mampu memenuhi syarat kelayakan yang telah ditetapkan oleh program universiti.
4. Diploma
Jurusan diploma lebih spesifik kepada bidang tertentu. Anda boleh memilih mana-mana jurusan yang diminati berdasarkan kelayakan yang telah ditetapkan oleh universiti. Pelajar diploma mempunyai dua pilihan sama ada ingin menyambung ke peringkat sarjana muda atau bekerja. Pelajar ini layak untuk memohon kerja setelah tamat belajar berdasarkan bidang yang diceburi.
Sekiranya anda ingin bekerja setelah tamat, pilihlah bidang yang anda sasarkan untuk bekerja nanti. Kebanyakan peluang kerja di luar sana banyak ditawarkan kepada mereka yang mempunyai kelulusan diploma. Hal ini kerana, pelajar diploma sudah dilatih dan didedahkan terus kepada bidang yang dipelajari. Maka tidak hairanlah ramai majikan di luar sana ingin mengambil mereka bekerja.
5. STPM
STPM juga adalah salah satu fast-track untuk menyambung ke peringkat ijazah. Ramai yang terlepas pandang sebenarnya universiti membuka peluang yang besar kepada pelajar ini untuk menyambung ke peringkat ijazah. Namun tidak ramai yang memilih laluan ini kerana merasakan ia adalah destinasi terakhir jika tidak diterima di IPTA atau IPTS.
STPM menawarkan bidang sains, sastera dan perakaunan. Mereka yang berminat boleh merujuk kepada Pejabat Pendidikan Daerah masing-masing bagi mengetahui kelayakan bidang. Tempoh masanya juga adalah 3 semester sahaja dan mempunyai kerja kursus yang perlu disiapkan bagi memenuhi syarat setiap semester.
5. CAT (Certified Accounting Technician)
CAT adalah program profesional yang direka untuk melatih pelajar dalam bidang perakaunan dan kewangan. Program ini dikendalikan oleh ACCA (Association of Chartered Certified Accountants) dan diiktiraf secara global. Pelajar yang menyertai program CAT akan belajar tentang asas perakaunan, pengurusan kewangan, dan etika profesional, yang sangat berguna untuk kerjaya dalam perakaunan.
Tempoh pengajian untuk CAT adalah lebih kurang satu hingga dua tahun, bergantung kepada kemampuan pelajar dan jumlah modul yang diambil setiap semester. Setelah tamat program CAT, pelajar boleh memilih untuk terus bekerja sebagai juruteknik perakaunan atau melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi seperti ACCA, yang membuka peluang untuk menjadi akauntan bertauliah.
7. TVET
TVET adalah singkatan bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal & Vokasional. Ia bertujuan untuk menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang tertentu. Lepasan SPM berpeluang untuk melanjutkan pelajaran sama ada dalam bidang sijil ataupun diploma dalam program TVET yang berkemahiran tinggi. Bagi mereka yang kurang kecenderungan dalam akademik dan bagi remaja di luar sistem pendidikan terdapat juga program khas sijil dan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).
Sebenarnya pelajar TVET mempunyai peluang yang besar dalam industri kerana mereka diberi pendedahan dalam bidang kemahiran yang menawarkan banyak peluang pekerjaan. Terdapat beberapa universiti awam yang turut menawarkan diploma dalam TVET ini seperti Universiti Teknikal Malaysia (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Universiti ini adalah merupakan daripada Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan menjadikan program ini amat praktikal dan fleksibel untuk disesuaikan dengan keperluan negara.
Untuk anda yang mencari senarai biasiswa lepasan SPM edisi 2024 (Edisi kemas kini), sila muat turun di sini -> Senarai Biasiswa Lepasan SPM Edisi 2024
Baca juga: Cara Semak Keputusan SPM 2023
Lihat -> Senarai Ranking Sekolah Terbaik SPM 2023 untuk SBP dan MRSM
Aktiviti Selepas Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023
Anda mempunyai pertanyaan tentang kerjaya selepas SPM? Mahu dapatkan tips untuk lepasan SPM? Cara cari biasiswa dan yang lain? Sertai dan tanyakan di – > Komuniti Kerjaya Career Cube
Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak mebantu pelajar dalam membuat pilihan selepas SPM. Anda adalah penentu jalan cerita dalam hidup anda sendiri. Kongsikan juga kepada rakan anda agar lebih ramai tahu tentang Laluan Kerjaya Selepas SPM 2024.
An interesting topic and I’m glad to come across your page where I found some helpful insights. Check out my website FQ6 too, if you need additional resources about Thai-Massage.