Sebenarnya banyak kebaikan apabila anda bekerja selepas tamat peperiksaan SPM dan tamat sesi persekolahan. Tidak salah sekiranya berfikiran mahu bersuka-ria, berehat terlebih dahulu selepas tamat SPM namun sekejap sudah mencukupi. Jadi, sebelum anda menerima tawaran untuk menyambung pelajaran, anda mempunyai masa yang agak lama sebelum menyambung pengajian. Jadi, anda boleh bekerja selepas SPM untuk manfaatkan masa yang ada, menimba pengalaman bekerja serta dapat menyimpan duit untuk kegunaan pada masa hadapan.
Kami di Career Cube seringkali menerima soalan seperti ini:
- “Perlukah bekerja semasa cuti persekolahan kerana kami baru sahaja selesai peperiksaan SPM.”
- “Bolehkah kalau kami tidak mahu bekerja?”
- “Apakah manfaat yang kami akan dapat sekiranya bekerja semasa cuti persekolahan ini?”
- “Apakah ada majikan yang mahu mengambil kami bekerja?”
Jawapan kami adalah BOLEH BEKERJA DAN PASTI ADA MAJIKAN YANG MAHU MENGAMBIL ANDA BEKERJA!
Kami akan berikan penjelasan kepada anda tentang kelebihan bekerja ketika musim cuti persekolahan ataupun yang baru sahaja tamat persekolahan dan selesai peperiksaan SPM. Antara kelebihannya adalah:
- Anda boleh mencari pengalaman baru ketika bekerja.
- Apabila anda sudah mula bekerja selepas tamat persekolahan, pengalaman yang anda peroleh di tempat kerja dapat mematangkan diri anda untuk menghadapi situasi yang lebih sukar di kemudian hari. Apabila anda bekerja, banyak perkara baharu yang bakal anda terokai.
- Sebagai contoh, anda akan meluaskan rangkaian sosial iaitu dapat mengenali rakan baru, suasana kerja yang baru, ataupun belajar sesuatu perkara baru yang anda tidak pernah lakukan sebelum ini seperti menguruskan kewangan, berhubung dengan pelanggan dan lain-lain. Apabila anda belajar cara untuk berhubung dengan pelanggan anda akan dapat meningkatkan lagi kemahiran berkomunikasi supaya menjadi lebih baik.
- Pengalaman bekerja itu boleh dimasukkan di dalam resume.
- Kebanyakan syarikat mencari pekerja yang mempunyai pengalaman bekerja berbanding dengan individu yang tidak ada langsung pengalaman bekerja. Walaupun anda mempunyai pengalaman yang sedikit, tetapi dengan pengalaman yang anda ada itu menunjukkan bahawa anda bersifat lebih matang dan berpeluang tinggi untuk mendapatkan pekerjaan berbanding dengan individu yang tidak ada langsung pengalaman bekerja.
- Memenuhi masa cuti dengan perkara yang bermanfaat.
- Bekerja selepas tamat peperiksaan SPM sudah pasti lebih baik daripada anda menghabiskan masa dengan melakukan perkara yang sia-sia. Apabila anda sudah mula bekerja, anda akan menjadi lebih bertanggungjawab ke atas diri dan tugasan yang diberikan kepada anda. Selain itu, anda juga akan terdedah dengan persekitaran tempat kerja yang memberikan kesan positif ke atas diri anda. Oleh itu, anda janganlah terlalu memilih pekerjaan kerana ini adalah satu permulaan baru untuk anda mencari pengalaman dan merasai alam pekerjaan. Gunakanlah masa yang ada itu dengan mencari pengalaman bekerja untuk memberi peluang yang cerah pada masa hadapan.
- Pelajar yang bekerja semestinya akan mendapat ganjaran “Duit”.
- Apabila anda sudah mendapat gaji hasil daripada pekerjaan yang anda lakukan, anda perlulah bahagikan ia mengikut keutamaan terlebih dahulu. Amalkan amalan menabung untuk kegunaan masa hadapan. Sebagai contoh, duit simpanan itu digunakan untuk urusan menyambung pelajaran pada masa yang akan datang. Apabila anda sudah bekerja anda akan lebih menghargai duit gaji yang diterima itu. Anda juga mampu buktikan kepada keluarga dan ibu bapa bahawa anda mampu untuk hidup berdikari. Dengan duit yang anda peroleh, anda boleh berikannya kepada ibu bapa anda juga untuk membalas jasa mereka yang selama ini bekerja keras untuk membesarkan anda.
Semoga dengan perkongsian ini dapat memberikan sedikit sebanyak pendedahan kepada anda tentang kelebihan bekerja selepas SPM. Banyak kebaikan yang anda akan peroleh sekiranya anda bekerja selepas tamat persekolahan dan peperiksaan SPM sebelum anda berniat untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang seterusnya.
Keputusan SPM kekal diumumkan pada 27 Mei 2024. Semoga anda berjaya dalam apa sahaja bidang yang anda ceburi dan selamat maju jaya!