Dalam banyak sesi yang kami kendalikan, apabila ada di kalangan peserta yang memaklumkan bahawa mereka tidak mendapat apa-apa jawapan selepas temu duga, kami akan ajukan soalan,
“Awak ada buat follow up tak?”
Dan rata-rata, jawapan mereka adalah mereka tidak melakukan follow up lalu temu duga tersebut tidak diketahui statusnya. Tahukah anda, susulan kepada setiap temu duga yang anda lalui adalah sangat penting dan boleh memberikan gambaran positif tentang diri anda sebagai calon. Antara kepentingan untuk lakukan tindakan susulan sebaik sahaja selesai temu duga adalah seperi berikut:
1. Menunjukkan minat dengan jawatan tersebut
Menunjukkan anda bersungguh-sungguh dalam membuat permohonan kerja dengan syarikat tersebut. Anda boleh menggunakan peluang semasa susulan, untuk menyatakan pengetahuan tambahan yang anda miliki berkenaan syarikat, visi, misi, atau projek yang mereka usahakan. Ini boleh menunjukkan bahawa anda telah melakukan kajian anda dan menghargai syarikat.
2. Memberi peluang kepada anda untuk menyatakan penghargaan atas peluang temu duga
Menunjukkan etika profesional untuk menyatakan rasa terima kasih atas peluang yang diberikan, menunjukkan anda adalah seorang calon yang menghargai proses pemilihan dan penilaian yang dijalankan oleh syarikat atau organisasi tersebut. Dengan menyatakan penghargaan, mengukuhkan juga imej diri anda sebagai individu yang sopan dan beretika, dan ini boleh memberi kesan positif kepada bakal majikan serta membantu dalam membina hubungan yang baik antara bakal pekerja dan syarikat, walaupun mereka tidak berjaya mendapatkan pekerjaan itu. Ini boleh menjadi langkah pertama untuk membina rangkaian yang profesional pada masa hadapan.
3. Meningkatkan potensi untuk anda dikenali oleh majikan
Sikap menghargai peluang selalunya dianggap sebagai kualiti yang diingini dalam diri seseorang pekerja. Dengan menunjukkan penghargaan, seseorang boleh membina tanggapan peribadi yang baik dan boleh membezakan anda daripada calon lain yang mungkin kurang menonjol dalam hal ini.
Oleh itu, adalah sangat penting untuk seseorang calon membuat tindakan susulan selepas anda menghadiri temu duga supaya anda berpeluang bukan sahaja untuk tonjolkan diri tetapi juga menyatakan penghargaan kepada peluang yang telah diberikan.