Temu duga kerja sentiasa menjadi saat yang paling mendebarkan bagi setiap individu. Namun begitu, temu duga ialah peluang untuk anda meyakinkan majikan bahawa anda ialah calon yang sesuai untuk jawatan yang ditawarkan. Oleh itu, anda perlu tahu 4 kesilapan utama yang sering dilakukan oleh calon temu duga yang menyebabkan mereka terlepas peluang diterima bekerja.
- Datang Lewat
Sekiranya anda tiba lambat pada hari temu duga, pihak majikan akan memberikan tanggapan negatif bahawa anda tidak menghargai masa mereka dan tidak professional. Anda perlu tiba kira-kira 10 hingga 15 minit awal di tempat temu duga untuk mengelakkan anda berasa panik, membenarkan anda bersedia dan menyesuaikan diri dengan suasana tempat tersebut.
- Pemakaian yang Tidak Sesuai
Penampilan ialah perkara pertama yang akan dilihat oleh majikan apabila bertemu anda kerana ianya mencerminkan profesionalisme dan displin anda. Sekiranya anda berpakaian terlalu santai seperti memakai selipar atau pakaian yang mencolok mata, ianya akan mempengaruhi tanggapan pertama mereka terhadap anda. Oleh itu, anda perlu berpakaian formal atau dengan lebih mudah, mengikut kod etika pemakaian yang telah ditetapkan.
- Tidak Membuat Kajian Mengenai Syarikat
Sekiranya anda tidak melakukan kajian mengenai syarikat yang akan menemuduga anda, anda mungkin akan kurang mengetahui berkenaan syarikat tersebut. Hal ini akan memberikan tanggapan bahawa anda tidak serius untuk bekerja. Oleh itu, penting untuk anda mengkaji latar belakang syarikat, produk atau perkhidmatan yang ditawarkan, dan budaya kerja yang diamalkan.
- Tidak Bersedia
Anda perlu berlatih dengan soalan-soalan yang lazim ditanyakan semasa temu duga untuk mengelakkan daripada tergagap-gagap dan memberikan jawapan yang tidak jelas. Antara contoh soalan yang lazim ditanya ialah “Perkenalkan diri anda” dan “Kenapa anda ingin bekerja di sini?”.
Kesimpulannya, persiapkan diri anda dengan baik untuk berjaya dalam temu duga. Semoga perkara yang dikongsikan dapat membantu anda dalam mendapatkan pekerjaan yang diingini. Selamat maju jaya!