Penting untuk para graduan melakukan persediaan kerjaya ketika masih dalam pengajian untuk memastikan mereka mempunyai peluang yang lebih baik untuk mendapatkan pekerjaan yang mereka idamkan selepas tamat pengajian. Bukanlah terlewat untuk menambahbaik diri apabila telah selesai pengajian, namun sekiranya persediaan dapat dilakukan lebih awal, ia adalah perkara yang sangat baik dan anda bakai meningkatkan peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang anda idamkan sebaik sahaja selesai pengajian.
Berikut adalah 5 persediaan kerjaya yang perlu dilakukan ketika masih dalam pengajian.
Perancangan Kerjaya
Buat perancangan kerjaya jangka pendek dan panjang sejak daripada awal termasuk menetapkan matlamat kerjaya yang ingin dicapai dalam tempoh 5 tahun, 10 tahun atau 20 tahun yang akan datang. Seterusnya setelah matlamat telah jelas, anda boleh lakukan sedikit carian tentang apakah keperluan bagi mencapai matlamat tersebut. Lakukan perbandingan dengan apa yang telah dimiliki dan kemudian rancang langkah-langkah yang perlu diambil untuk mencapai matlamat anda.
Pengetahuan Yang Kukuh Mengikut Bidang Yang Diceburi
Tumpukan untuk mendapat pendidikan yang baik dengan mengejar pengetahuan dalam bidang yang diceburi. Pastikan anda mahir dengan terma-terma yang selalu digunapakai dalam bidang anda serta kaitkan dengan tugasan yang bakal anda jalankan dengan mengaplikasikan pengetahuan tersebut.
Kembangkan Kemahiran
Selain daripada pengetahuan akademik, kembangkan kemahiran seperti kemahiran komunikasi, analisis, dan penyelesaian masalah. Anda boleh ikuti latihan atau menyertai mana-mana kelab atau persatuan yang menawarkan kemahiran yang bersifat insaniah ini. Bakal majikan kini tidak hanya melihat kepada kemahiran dari sudut teknikal tetapi mereka sangat mahukan calon yang mahir dalam kemahiran-kemahiran seperti yang disebutkan di atas. Kemahiran ini perlukan latihan, jadi anda perlu manfaatkan masa semasa pengajian untuk memahirkan diri.
Bina Portfolio
Kumpulkan contoh hasil kerja atau projek yang boleh dimasukkan ke dalam portfolio anda sebagai bukti kemahiran yang dimiliki. Portfolio ini boleh menjadi satu tambah nilai kepada diri anda semasa permohonan kerja. Hasil kerja ini boleh dijadikan dalam bentuk digital melalui laman web atau perisian seperti WordPress, WiX, Portfolio dan lain-lain yang kemudiannya boleh disertakan dalam resume anda dalam bentuk kod QR atau pautan yang aktif.
Aktiviti Ko-Kurikulum
Sertai aktiviti ko-kurikulum dan organisasi mahasiswa yang relevan untuk meluaskan pengalaman dan memperkembangkan kemahiran kepimpinan. Semasa di universiti, kolej mahupun di sekolah, melalui penglibatan dalam aktiviti ko-kurikulum, sifat kepimpinan dan kerja dalam kumpulan boleh dipupuk dan diasah. Penglibatan walaupun hanya di peringkat institusi sahaja boleh memberikan gambaran anda seorang yang berkebolehan dalam memberikan impak kepada organisasi yang bakal anda sertai.
Dengan persediaan-persediaan yang telah disenaraikan, anda pastinya akan menjadi calon yang lebih bersedia sewaktu melangkah ke alam pekerjaan anda. Selamat mencuba!