Program Persiapan Kerjaya Ready2Hire dianjurkan oleh pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan dikelolakan secara penuh oleh perunding Career Cube secara PERCUMA. Program ini terbuka kepada asnaf yang berumur 18-35 tahun dan tidak pernah menyertai mana-mana program Ready2Hire. Program telah berlangsung selama 3 hari 2 malam dan bertempat di Park Inn by Radisson Hotel, Putrajaya.
Tujuan program ini adalah untuk memberikan pendedahan dan persiapan diri bagi mereka yang ingin melangkah ke alam pekerjaan. Program ini dibahagikan kepada 6 modul yang komprehensif di mana ia lengkap dengan pengetahuan dan sesi praktikal bagi membantu graduan dan pencari kerja mendapatkan pekerjaan idaman. Para peserta diminta untuk berkumpul pada checkpoint masing-masing pada pukul 2:30 petang sebelum pengangkutan yang disediakan mengambil mereka untuk dibawa ke lokasi program.
HARI PERTAMA
Program bermula dengan sesi pendaftaran dan urusan check-in ke bilik masing-masing sebelum berkumpul semula di dewan utama. Kemudian diteruskan dengan sesi ice-breaking yang dikendalikan oleh Puan Atiqah dengan pengenalan tentang tim Career Cube dan taklimat tentang perkara penting seperti peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi sepanjang program berlangsung.
Selepas itu, kami dipecahkan kepada lima kumpulan kecil dengan setiap kumpulan mempunyai lima ahli. Para peserta diminta untuk berkenalan antara satu sama lain dan setiap kumpulan diminta untuk membina sebuah syarikat dengan beberapa maklumat yang dikehendaki oleh Puan Atiqah seperti nama syarikat, carta organisasi dan tagline.
Modul Pertama: Penetapan Sasaran & Persiapan Cari Kerja
Selesai makan malam dan solat maghrib secara berjemaah, semua peserta berkumpul semula di dewan untuk modul pertama. Setiap peserta diberikan sehelai kertas kosong dan diminta untuk membina sebuah kapal terbang kertas dengan masa yang diberikan. Kami perlu menulis nama masing-masing di atas kapal terbang kertas tersebut sebelum diminta untuk berkumpul di atas pentas hadapan untuk terbangkan kapal kertas tersebut.
Sesi dipenuhi dengan pelbagai reaksi yang diberikan oleh para peserta kerana ada kapal kertas yang berjaya terbang jauh dan sebaliknya. Aktiviti ini mempunyai hubung-kait tentang matlamat dan hala tuju berdasarkan konsep S.M.A.R.T. Hasil daripada modul ini, setiap peserta lebih faham dan jelas cara untuk menyusun dan merangka setiap matlamat supaya ia boleh dirancang dengan lebih sistematik.
HARI KEDUA
Hari kedua setiap modul menumpukan kepada persediaan dan persiapan yang harus dibuat sebelum menghadiri sesi temu duga. Bermula dengan pemilihan pakaian dan penampilan diri yang profesional, etika semasa temu duga, cara menulis resume dengan betul dan komunikasi yang profesional dalam temu duga di samping aktiviti selingan yang dilakukan.
Hari kedua bermula pada pukul 8 pagi dan berakhir pada pukul 11 malam dengan 4 modul yang diterangkan di samping sesi riadah pada pukul 5. Semua peserta diberi kelonggaran untuk melakukan aktiviti masing-masing sebelum makan malam dan solat maghrib berjemaah.
Modul 2: Penampilan Profesional Ke Temu Duga
Topik modul ini berjaya disampaikan oleh Puan Atiqah dengan cemerlang kerana disertakan dengan contoh dan panduan yang jelas. Antara perkara yang ditekankan adalah dari segi persiapan pemilihan pakaian untuk hadir temu duga dan kebersihan diri.
Aktiviti sampingan untuk modul ini adalah semua peserta diminta untuk ‘membeli-belah’ pakaian yang sesuai untuk hadir ke sesi temu duga berdasarkan bahan-bahan yang disediakan. Hasilnya, kami dapat menggambarkan dengan jelas bagaimana untuk tampil profesional dengan sopan dan kemas bermula daripada pemilihan warna, pakaian, aksesori dan jam tangan bagi lelaki dan wanita.
Modul 3: Kemahiran Menulis Resume
Sebelum mula menulis resume, semua peserta telah diminta untuk menyediakan maklumat berdasarkan akronim S.E.S.I.K.U. Ia membantu memudahkan pengisian maklumat ke dalam resume yang bakal dibuat. Proses penyampaian modul ini diterangkan satu per satu bagi setiap komponen yang ada dalam resume seperti skills, activities and invovlements, achievements dan lain-lain. Para peserta juga diminta untuk membawa laptop masing-masing untuk sesi modul ini.
Hasilnya, semua peserta dapat menyediakan sebuah resume mengikut templat yang disediakan oleh pihak penganjur. Setiap peserta juga diberi peluang untuk menyemak atau bertanyakan soalan kepada Puan Atiqah sepanjang sesi tersebut.
Modul 4: Etika Semasa Temu Duga
Hari kedua diteruskan dengan modul tentang etika temu duga. Daripada langkah pertama menjejakkan kaki ke syarikat tersebut bagi menghadiri sesi temu duga sehingga melangkah kaki ke dalam ruang sesi temu duga yang akan dijalankan.
Dalam modul ini dijelaskan mengikut pembahagian fasa yang akan berlaku sewaktu sesi temu duga, bentuk-bentuk soalan yang akan ditanyakan oleh penemu duga dan bagaimana cara menjawab soalan-soalan yang diajukan dengan teratur dan profesional.
Modul 5: Komunikasi Profesional Dalam Temu Duga
Sebelum modul ke-5 ini diterangkan, setiap kumpulan diminta untuk duduk dalam kumpulan masing-masing dan hanya menghantar wakil kumpulan sahaja ke hadapan. Aktiviti yang dijalankan untuk modul ini sangat menyeronokkan dan mencabar minda.
Daripada modul dan permainan yang dijalankan membuatkan semua peserta dapat berlatih dan lebih bersedia untuk berkomunikasi dengan baik dan profesional sebagai persediaan menghadapi dunia pekerjaan.
Modul 6: Memburu Kerja Dalam Talian
Hari terakhir dengan modul yang ke-6, semua peserta diminta untuk membuka sebuah akaun di aplikasi LinkedIn. Dalam sesi tersebut, semua peserta didedahkan tentang kepentingan untuk memiliki akaun LinkedIn terutama bagi peserta yang ingin memohon kerja sebaik sahaja habis belajar. Proses yang ditunjukkan daripada mula sehingga selesai dan setiap komponen dan perkara yang terkandung dalam aplikasi diterangkan dengan sangat jelas dan boleh diikuti oleh setiap peserta.
Program diakhiri dengan sesi soal jawab berkaitan modul-modul yang diterangkan dan penyampaian sijil kepada setiap peserta serta sesi bergambar. Pihak Career Cube juga menyediakan hadiah khas buat kumpulan yang mendapat markah tertinggi yang berjaya dikumpulkan sepanjang program dijalankan. Banyak input dan maklumat baru yang diterima oleh para peserta yang dapat dipraktikkan sewaktu mencari pekerjaan nanti.
Adakah anda berminat menyertai program PERCUMA Ready2Hire yang akan datang? Hubungi kami untuk sebarang pertanyaan.