Pada 31 Mei hingga 1 Jun 2025, Career Cube dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah menganjurkan Program Ready2Hire: Career Preparation Workshop.
Ini merupakan siri kedua program seumpamanya untuk tahun ini.
Program ini menyasarkan golongan asnaf yang berumur antara 18 hingga 35 tahun yang masih belajar, bekerja sambilan, atau belum mempunyai pekerjaan tetap.
Bertempat di Hotel Park Inn by Radisson, Putrajaya, program intensif ini berlangsung selama 3 hari 2 malam. Setiap peserta disediakan kemudahan penginapan, makan minum serta pengangkutan pergi dan balik sepanjang program.
Hari Pertama: Mengenal Diri dan Menetapkan Arah Tujuan
Sebaik sahaja semua peserta tiba, sesi pendaftaran dan pengedaran kad bilik dimulakan. Puan Atiqah, ketua divisyen Career Cube memulakan sesi perkenalan dan menerangkan peraturan serta memperkenalkan pasukan Career Cube.
Modul pertama mengetengahkan kepentingan penetapan matlamat kerjaya. Puan Atiqah memperkenalkan konsep SMART sebagai panduan untuk menyusun hala tuju dan sasaran dengan lebih sistematik.
Aktiviti interaktif turut dijalankan bagi membantu peserta memahami kepentingan untuk mempunyai matlamat yang jelas.
Hari Kedua: Penampilan, Resume dan Etika Temu Duga
Hari kedua bermula dengan modul penampilan profesional. Peserta mempelajari cara berpakaian yang rapi, memilih aksesori yang kemas dan mengenal pasti kombinasi warna yang memberi tanggapan positif kepada bakal majikan atau penemu duga.
Selesai minum pagi, sesi diteruskan dengan latihan menulis resume. Peserta dibimbing menulis butiran penting seperti pendidikan, kemahiran, pengalaman, pencapaian dan penglibatan kokurikulum.
Di akhir sesi ini, setiap peserta berjaya menyiapkan resume yang menepati keperluan industri dan berupaya meyakinkan bakal majikan.
Pada sebelah petang, peserta mempelajari etiket menghadiri temu duga. Mereka dilatih untuk mengetahui tindakan yang perlu dilakukan semasa memasuki bilik temu duga, cara berinteraksi dengan penemu duga dan cara duduk dengan sopan di hadapan bakal majikan.
Sesi ini meningkatkan keyakinan dan kesediaan peserta menghadapi temu duga sebenar.
Selepas makan malam, modul komunikasi profesional diteruskan. Peserta belajar cara menjawab soalan temu duga dengan berstruktur, jelas dan meyakinkan.
Kesemua peserta menunjukkan peningkatan dalam cara berkomunikasi secara berhemah dan teratur.
Hari Ketiga: Profil Profesional dan Penutup Program
Fokus utama hari terakhir adalah strategi memburu kerja dalam talian. Peserta dibimbing untuk membuka akaun LinkedIn dan memperkemas profil masing-masing agar tampil lebih profesional dan menyerlah.
Kesemua peserta berjaya menghasilkan profil yang lengkap dan bersedia digunakan dalam pencarian kerja.
Sebagai penutup, dua kumpulan terbaik diumumkan dan menerima hadiah berupa hamper serta Kit Dapat Kerja sebagai penghargaan atas prestasi mereka sepanjang program.
Kesimpulan
Program Ready2Hire: Career Preparation Workshop bukan sekadar program biasa.
Ia merupakan platform pembinaan keyakinan dan kemahiran sebenar bagi belia yang ingin melangkah ke alam pekerjaan dengan persediaan yang menyeluruh.
Tahniah kepada semua peserta, jurulatih, fasilitator dan pihak penganjur atas kejayaan program siri ini.
Jumpa lagi dalam siri yang ketiga!