Merasa buntu sama ada ingin menyambung pengajian atau terus bekerja setelah menerima keputusan SPM ialah perkara biasa. Namun, tidak mengapa sekiranya anda sudah bercadang untuk tidak melanjutkan pengajian. Terdapat banyak peluang kerjaya yang boleh diceburi walaupun tanpa memiliki ijazah. Yang penting anda berusaha dan minat untuk belajar sesuatu yang baharu.
Berikut merupakan pilihan kerjaya yang boleh diceburi:
- Kerjaya Berasaskan Kemahiran
Kerjaya berasaskan kemahiran merupakan kerjaya sentiasa mendapat permintaan tinggi dalam pasaran kerjaya. Anda boleh membina kerjaya anda sebagai pendandan rambut, tukang masak, tukang jahit atau lain-lain.
Ia memerlukan kemahiran praktikal yang boleh dipelajari melalui latihan jangka pendek di GiatMARA, Institut Latihan Perindustrian (ILP) atau kolej vokasional. Anda berupaya menjana pendapatan yang baik sekiranya anda mahir dan menawarkan perkhidmatan berkualiti.
- Perniagaan Kecil-kecilan
Jika anda berminat untuk berniaga, mulakan dengan kecil-kecilan terlebih dahulu. Contohnya, menjual makanan, pakaian, produk kecantikan atau lain-lain. Gunakan medium sedia ada seperti TikTok Shop, Shopee, atau Instagram untuk memasarkan produk.
Terdapat ramai anak muda telah berjaya menjana pendapatan sendiri walaupun berada di rumah. Anda hanya perlu rajin mencuba dan bijak menggunakan peluang.
- Pekerjaan Sektor Perkhidmatan
Sektor ini banyak menawarkan peluang pekerjaan. Anda boleh bekerja sebagai barista, kru restoran, juruwang, atau lain-lain. Jika anda rajin dan berprestasi baik, anda berpeluang dinaikkan pangkat. Dalam masa sama, anda akan belajar kemahiran komunikasi dan pengurusan masa yang berguna untuk masa depan.
- Pencipta Kandungan (Content Creator) atau Pekerja Bebas (Freelancer)
Jika anda memiliki bakat, ia boleh dijadikan sebagai kerjaya. Contohnya, menulis, melukis atau membuat video. Ini peluang untuk menggunakan medium seperti YouTube, TikTok, dan Instagram untuk menjana pendapatan.
Walau bagaimanapun, penting untuk anda kembangkan keupayaan diri walaupun tidak melanjutkan pengajian. Anda boleh menyertai kursus pendek secara fizikal atau atas talian, dan melayari laman sesawang yang menawarkan e-Learning secara percuma.
Kesimpulannya, tidak menyambung pengajian bukan bermakna anda tidak mempunyai masa depan. Yang penting, anda tidak berhenti belajar dan sentiasa tambah baik diri. Percaya bahawa rezeki itu luas dan jalan kejayaan tidak semestinya melalui universiti.
Senarai Ranking Sekolah Terbaik SPM 2024 Untuk SBP & MRSM