Boleh ke nak mohon kenaikan gaji dengan majikan? Jawapannya, boleh!
Memohon kenaikan gaji boleh menjadi proses yang mendebarkan dan amat penting untuk anda tahu cara memohon dengan betul. Berikut adalah beberapa tip berguna untuk membantu anda menyusun strategi dan meningkatkan peluang mendapat kenaikan gaji yang anda layak:
- Kenali Nilai Diri
Anda perlu tahu kekuatan dan kelebihan diri anda dengan mengkaji setiap pencapaian yang telah dicapai sebagai pekerja. Tambahan itu, kemahiran yang anda miliki juga harus dikenal pasti sepanjang proses pencapaian tersebut. Hal ini dapat dibuktikan dengan ukuran hasil secra metrik seperti berapa tahap atau peratus kenaikan kecekapan gerak kerja untuk setiap tugasan yang diberikan.
- Selidik Kadar Pasaran
Lakukan penyelidikan tentang kadar pasaran untuk jawatan anda di industri semasa. Anda boleh menggunakan platform seperti LinkedIn Salary atau Glassdoor untuk mendapatkan anggaran. Pastikan anda juga mempertimbangkan pengalaman kerja, pencapaian, dan kemahiran unik yang anda miliki yang memberikan nilai tambah kepada organisasi.
- Pilih Waktu Yang Sesuai
Pilih masa yang sesuai untuk berbincang tentang kenaikan gaji. Masa terbaik biasanya ketika syarikat berada dalam keadaan kewangan yang baik dan anda baru mencapai sesuatu yang signifikan bersama syarikat.
- Sediakan Hujah Yang Berkesan
Siapkan hujah dengan jelas mengenai pencapaian anda, tanggungjawab tambahan yang telah anda ambil, serta nilai tambah yang anda berikan kepada syarikat. Pastikan hujah anda disokong dengan fakta dan data yang relevan.
- Berkomunikasi Dengan Yakin
Persediaan mental dan emosi adalah penting dalam situasi ini. Latih diri untuk menyampaikan permintaan anda dengan tenang, profesional, dan penuh keyakinan. Tunjukkan bahawa anda serius tetapi masih tetap menghormati pihak majikan.