Latihan industri atau internship merupakan keperluan yang perlu dijalani oleh pelajar tahun akhir di semua universiti untuk menimba pengalaman sebelum melangkah ke alam pekerjaan yang sebenar. Oleh itu, anda perlu memilih tempat latihan yang sesuai untuk memperoleh pengalaman yang bermanfaat. Mari kami bantu anda dalam mencari tempat latihan industri yang baik.
- Kenal Pasti Bidang
Sebelum mencari tempat latihan, anda perlu fikirkan bidang kerjaya yang anda ingin ceburi selepas tamat pengajian. Pastikan organisasi atau syarikat yang dipilih adalah berkaitan dengan bidang pengajian.
- Lakukan Kajian terhadap Syarikat yang Diminati
Jangan pilih tempat latihan secara rawak atau secara tangkap muat sahaja. Anda perlu lakukan kajian mengenai latar belakang, budaya kerja yang diamalkan, serta jenis pengalaman yang bakal diperolehi. Anda boleh menyemak laman web rasmi syarikat, media sosial syarikat, dan ulasan pekerja tentang syarikat tersebut di Glassdoor, Indeed, dan LinkedIn.
- Rujuk Orang yang Berpengalaman
Sekiranya anda mempunyai kenalan seperti senior atau pensyarah, anda boleh merujuk mereka untuk mendapatkan tempat latihan. Mereka mungkin mengetahui dan boleh mencadangkan beberapa tempat yang sesuai untuk anda. Namun begitu, anda boleh berkenalan dengan wakil syarikat sekiranya anda menghadiri seminar, bengkel, atau career talk yang dianjurkan oleh pihak universiti.
- Sediakan Resume dan Cover Letter yang Menarik
Anda perlu pastikan resume dan cover letter anda tersusun dengan baik. Kemahiran dan pengalaman yang anda sertakan perlulah menonjol dan relevan. Anda boleh menggunakan format professional iaitu ringkas tetapi padat dengan maklumat penting seperti pencapaian akademik, kemahiran, dan pengalaman yang berkaitan.
Kesimpulannya, memilih tempat latihan industri yang sesuai penting untuk persiapan kerjaya anda. Dengan strategi yang tepat, anda bakal memperoleh pengalaman berharga dan meningkatkan peluang pekerjaan. Semoga berjaya dalam mencari tempat latihan industri!