Resume merupakan dokumen penting yang mampu menjadi penentu sama ada anda dipanggil ke sesi temuduga atau tidak. Dengan persaingan sengit dalam pasaran kerja hari ini, resume anda perlu menyerlah dan menarik perhatian majikan dalam masa yang singkat. Berikut kami kongsikan tip menulis resume yang menonjol:
- Sesuaikan Dengan Pekerjaan
Setiap resume anda perlu disesuaikan mengikut keperluan pekerjaan yang dimohon. Tidak ada satu resume yang sesuai untuk semua jawatan. Ambil masa untuk membaca iklan pekerjaan dengan teliti dan sesuaikan resume untuk menunjukkan bahawa anda mempunyai kelayakan dan pengalaman yang mereka cari. Kenal pasti kemahiran dan pengalaman anda yang paling relevan dengan jawatan tersebut, dan tonjolkan dalam resume anda.
- Ukur Pencapaian Dengan Nombor
Resume yang kuat adalah resume yang menunjukkan pencapaian yang boleh diukur dengan berikan nombor atau peratusan yang khusus untuk menunjukkan impak yang telah dicapai dalam jawatan terdahulu. Metrik ini membantu majikan untuk menilai perkara yang boleh anda tawarkan kepada mereka.
- Gunakan Kata Kunci Yang Betul
Dalam era digital hari ini, banyak syarikat menggunakan sistem ATS (Applicant Tracking System) untuk menapis resume. Untuk memastikan resume anda melepasi sistem ini, gunakan kata kunci yang berkaitan dengan keperluan jawatan. Penggunaan kata kunci yang betul dapat meningkatkan peluang anda melepasi sistem ini.
- Reka Bentuk Yang Profesional
Reka bentuk resume juga memainkan peranan penting dalam menarik perhatian majikan. Pastikan resume anda kelihatan bersih, profesional dan mudah dibaca. Selain itu, pastikan terdapat sela baris dan susun atur yang teratur untuk memudahkan pembacaan. Majikan hanya mengambil beberapa saat untuk melihat resume anda, jadi pastikan ia jelas dan mudah untuk dilihat.
Semoga dengan tip yang diberikan, anda dapat menghasilkan resume dengan baik. Selamat mencuba!