- Anda pernah memohon pekerjaan tapi masih tidak mendapat panggilan untuk ditemu duga?
- Anda membuat resume dengan baik tetapi tidak mendapat pekerjaan?
- Apakah kekurangan resume yang dibuat?
Untuk menjawab segala persoalan di atas, kami akan merungkai tips untuk anda menulis resume dengan betul supaya mudah untuk mencari pekerjaan dan dipanggil untuk sesi temu duga. Tip menulis resume adalah seperti berikut:
- Ketahui tujuan utama resume ditulis
Tujuan resume dibuat bukanlah untuk terus mendapat pekerjaan tetapi untuk melayakkan anda menghadiri sesi temu duga kerja. Resume yang bagus itu adalah salah satu langkah untuk memudahkan anda mendapat pekerjaan. Resume yang bagus juga akan memberikan tanggapan yang baik (good impression) terhadap diri anda.
- Ketahui perbezaan antara Resume dengan Curriculum Vitae (CV)
Untuk pengetahuan anda, sebenarnya resume dan curriculum vitae (CV) adalah BERBEZA. Ia berlainan konsep dan pendekatan walaupun tujuan kedua-duanya adalah sama iaitu kedua-dua dokumen yang digunakan adalah untuk memohon pekerjaan. Resume kebiasaannya adalah lebih ringkas, maklumat yang dimasukkan juga padat, mudah dibaca dan mempunyai satu atau dua muka surat sahaja manakala, CV pula memberikan maklumat yang lebih terperinci mengenai pengalaman kerja dan sebagainya serta bilangan muka surat lebih daripada dua muka surat.
- Penulisan resume menggunakan template kronologi (chronological resume)
Chronological resume atau dipanggil juga sebagai reverse chronological resume adalah antara format resume yang terkenal di luar sana. Secara umumnya, resume kronologi ini adalah untuk membantu anda menyenaraikan pengalaman bekerja dan pencapaian semasa ataupun yang paling terbaru dan diikuti dengan pengalaman bekerja terdahulu di bawahnya. Selain itu, resume kronologi ini juga sesuai untuk anda yang sedang mencari pekerjaan dan mempunyai banyak pengalaman pencapaian untuk disenaraikan di dalam resume anda. Seterusnya, resume kronologi ini juga membantu anda yang mempunyai sedikit pengalaman ataupun tiada pengalaman bekerja. Resume jenis ini juga sesuai untuk lepasan graduan atau entry level. Ia juga boleh menunjukkan perkembangan karier seseorang. Maksimum bagi resume ialah 2 muka surat dan kebiasaannya pengalaman akan dimasukkan terhad kepada 5 tahun yang terkini.
- Penulisan CV atau dikenali resume berfungsi (functional resume)
Resume jenis ini adalah untuk golongan teknikal, golongan yang mempunyai banyak pengalaman bekerja dan ahli akademik. Mempunyai tiga hingga lima muka surat. Fokus kepada kemahiran dan pencapaian.
- Gambar dalam resume
Survey yang telah dijalankan oleh gradmalaysia menunjukkan majoriti perekrut gemarkan resume yang mempunyai gambar. Tetapi, resume bergambar juga cenderung untuk menjadi bias. Gambar yang digunakan perlu bersifat formal.
- Jenis resume bersifat tradisional atau infografik
Kedua-duanya dibenarkan. Secara mudahnya, sesuaikan dengan industri dan jawatan yang dimohon. Rekaan resume bertujuan untuk memudahkan pembacaan sahaja dan bukanlah medium untuk menunjukkan kemahiran rekaan atau untuk mendapatkan markah yang banyak. Struktur dan huraian adalah lebih penting.
- Keperluan alamat dalam resume
Apakah tujuan alamat diletakkan? Tujuan kita bukan untuk menghantar surat fizikal. Kita meletakkan alamat dalam surat tawaran pekerjaan. Tambahan juga, alamat diletakkan untuk mengetahui lokasi sebenar anda. Selain itu, alamat juga mempunyai fungsi yang lain. Oleh itu, letakkan alamat yang lengkap.
- Info atau maklumat sulit di media sosial
Sembunyikan atau umumkan maklumat sulit seperti alamat, nombor telefon dan sebagainya sekirnaya anda meletakkan info tersebut di media sosial atau tempat umum seperti di Linkedin, Jobstreet dan sebagainya. Caranya ialah meletakkan alamat emel sahaja atau sekiranya diminta (upon request). Anda perlu menjaga privasi atau maklumat peribadi anda. Beri maklumat peribadi hanya jikalau anda menghantar emel secara langsung kepada majikan.
- Helaian kertas untuk resume
Resume yang mempunyai dua muka surat bermaksud mempunyai dua helai kertas. Jangan cetak resume di muka hadapan dan belakang kertas.
- Saiz dan jenis kertas resume
Pastikan cetak resume di atas kertas A4 putih bersaiz 80gsm. Jangan cetak resume di atas kertas sijil, kertas tebal, kertas berwarna, atau kertas kitar semula. Dokumen perlu bersifat profesional.
- Penyelarasan resume mengikut kerja, industri dan jawatan
Resume wajib diselaraskan mengikut kerja dan jawatan yang dimohon. Tidak ada istilah satu jenis resume untuk memohon semua jenis pekerjaan. Tidak efektif untuk menggunakan satu resume sahaja untuk memohon semua jenis pekerjaan kecuali resume anda bagus. Oleh itu, olah resume anda setiap kali anda hendak emelkan kepada syarikat.
- Jenis emel
Gunakan emel profesional yang menggunakan nama sebenar anda kerana ia adalah tanda profesionalisme dan kematangan. Jangan gunakan emel yang tidak profesional dan bersifat kebudak-budakan seperti ahmadsasuke@gmail.com, Sepohonkayudaunnyarimbun@gmail.com, Oppaahmad@gmail.com, 5y4k1r@gmail.com dan sebagainya.
- Maklumat diri yang tidak berkaitan atau tidak bersifat profesional
Resume bertujuan untuk mempromosikan diri kepada majikan maka anda tidak perlu letak hobi dan makanan kegemaran anda. Anda juga tidak perlu letak jantina, kerakyatan, jenis darah, hobi, kegemaran dan mana-mana maklumat yang tidak mempunyai nilai komersial dalam bidang pekerjaan.
- Semak atau proofread resume
Semak resume anda supaya tiada kesalahan ejaan, tanda baca dan tatabahasa.
- Perincian dan maklumat dalam resume
Resume perlu bersifat terperinci maka, pastikan ia sempurna. Pelbagai alatan boleh digunakan dan anda juga boleh menggunakan bantuan rakan anda untuk memeriksa resume anda. Maklumat yang ditulis dalam resume mestilah menggunakan tautan atau titik bulet dan bukan dalam bentuk perenggan agar senang dibaca dan diimbas. Margin perlulah diselaraskan kepada 1 inci dari kanan, kiri, atas dan juga bawah dengan mengoptimakan ruang yang ada.
- Pautan akaun media sosial profesional
Letakkan pautan portfolio atau akaun sosial media yg diurus secara profesional dalam resume supaya ia boleh menjadi faktor penyumbang untuk anda memperoleh pekerjaan yang diingini. Anda boleh sertakan pautan atau kod QR atau layari laman web https://qrcode.careercube.com.my
- Jenis tulisan
Pastikan anda menggunakan jenis tulisan yang profesional agar mudah dibaca. Contoh tulisan yang selamat digunakan ialah Arial, Times New Roman, Calibri dan Gotham.
- Bahasa yang digunakan dalam resume
Bahasa yang sesuai digunakan untuk menulis resume ialah Default English atau bahasa yang paling tepat ialah gunakan bahasa seperti bahasa yang digunakan dalam iklan kerja. Sekiranya iklan kerja itu menggunakan bahasa melayu maka, resume tersebut perlu ditulis dalam bahasa melayu. Sekiranya iklan kerja tersebut ditulis dalam bahasa Urdu, maka, resume tersebut juga perlu ditulis dalam bahasa Urdu.
- Tahap pendidikan
Letakkan tahap pendidikan yang terbaru dan gred semester terkumpul atau CGPA jika anda mendapat anugerah dekan. Anda juga boleh meletakkan subjek yang anda hendak tekankan atau serlahkan dalam resume. Selain itu, anda juga boleh letakkan tajuk projek tahun akhir anda.
- Ketahui kekuatan dan kemahiran yang perlu diletakkan dalam resume
Letak kekuatan anda dan kemahiran yang dicari oleh majikan pada muka surat pertama seperti aktiviti kesukanan, penglibatan dan anugerah yang ada peroleh jika sukan adalah kekuatan anda. Jikalau kekuatan anda adalah kajian maka jadikan ia muka surat pertama. Jikalau kekuatan anda adalah kepimpinan, maka letakkan ia di muka surat hadapan dan sebagainya.
- Maklumat peribadi yang tidak penting dan cenderung kepada bias
Saya tidak menggalakkan untuk meletakkan tarikh lahir, nombor kad pengenalan dan umur pada resume. Saranan saya adalah rahsiakan umur anda kerana ia boleh menjadi bias. Tambahan juga, butiran lanjut akan diisi dalam borang khas memohon kerja semasa proses temu duga.
- Keperluan meletakkan nombor kad pengenalan jika memohon kerja kerajaan
Wajib meletakkan nombor kad pengenalan jika memohon kerja dengan kerajaan.
- Kerakyatan
Letak kerakyatan anda jika anda memohon bekerja di luar negara contohnya jika anda warganegara Malaysia yang ingin bekerja di Singapura, maka, anda perlu meletakkan kerakyatan anda dalam resume.
- Rujukan atau references
Perdekatan terbaik yang saya perhatikan setakat ini adalah dengan meletakkan dua orang sebagai rujukan atau references iaitu seorang ahli industri dan seorang ahli akademik.
- Perincian maklumat untuk pengalaman bekerja
Dalam huraian, jelaskan dengan spesifik dan padat dengan memberikan nombor, nilai, angka dan peratus jika perlu untuk menunjukkan pencapaian anda supaya perekrut atau majikan mendapat gambaran tahap kemahiran anda.
- Jenis ayat
Gunakan ayat aktif untuk menyenaraikan pengalaman bekerja. Kata kerja di hadapan ayat perlu ditukar daripada Responsible for, Achieve, Trusted to kepada Performed, Analysed, Designed, Operated dan sebagainya.
- Pencapaian dan penglibatan
Graduan baru boleh meletakkan pencapaian dan penglibatan program, kelab, persatuan, badan-badan bukan kerajaan atau NGO dan sukan. Sekiranya anda tidak mempunyai pengalaman kerja, maka, itulah pengalaman yang menunjukkan nilai anda.
- Latihan Industri dan pengalaman bekerja sambilan
Latihan industri, pengalaman kerja sambilan dan separuh masa dikira sebagai pengalaman kerja contohnya berpengalaman bekerja sebagai pekerja bebas atau freelancer seperti penghantar barang, tutor, penulis dan sebagainya, bekerja separuh masa atau part time sebagai ejen insurans, pengedar, stokis, affiliate, kontrak, bisnes sendiri dan sebagainya.
- Ayat umum
Buang ayat umum atau general yang tidak menunjukkan secara jelas nilai diri anda seperti highly motivated, very passionate, can work with minimum supervision, fast learner dan sebagainya.
- Kata kunci bidang yang dimohon
Guna kata kunci industri mengikut keperluan industri dan kemahiran yang diperlukan dalam industri tersebut kerana keyword is the key.
- Panduan
Iklan kerja ialah panduan dan arah tuju untuk anda menulis resume.
- Nilai gaji yang ingin dimohon
Terdapat kebaikan dan keburukan meletakkan nilai gaji yang ingin dimohon. Pendekatan yang terbaik ialah sekiranya iklan kerja atau perekrut sudah menyatakan nilai purata gaji maka, letakkan nilai dalam purata gaji yang diletakkan kerana itulah bajet syarikat. Anda perlu tahu kaedah dan cara untuk berunding tentang gaji. Sekiranya tiada maklumat tentang gaji maka, tidak perlu letakkan nilai gaji yang ingin dimohon dalam resume.
- Format resume
Format resume perlu dihantar dalam bentuk PDF jika melalui emel kecuali dimaklumkan oleh pihak majikan perlu dihantar dalam format tertentu.
- Nama untuk resume
Namakan resume anda dengan profesional seperti Resume Nik Akmal.pdf dan bukannya Resume terbaru, Resume aku 2021, Resume final 5_67985643460, Resume1830 dan sebagainya.
- Kesempurnaan resume
Pastikan resume anda sempurna dan tiada sebarang kesalahan ejaan, tatabahasa dan tanda baca. Resume anda mestilah sempurna tanpa kesalahan tanda baca, ejaan, tatabahasa dan penggunaan bahasa yang elok. Oleh itu, sentiasa semak dan baca balik resume anda agar resume anda sempurna dan tidak mempunyai sebarang kesalahan. Anda juga boleh menggunakan aplikasi atau pautan Grammarly dengan melayari https://grammarly.com untuk menyemak penulisan anda.
- Penekanan maklumat dalam resume
Tekankan dan susun maklumat penting dengan menggunakan bold atau italic dan gariskan info yang anda rasa penting dan ingin tekankan. Hanya guna salah satu pada satu masa. Elakkan guna kedua-dua bentuk format penekanan serentak. Huraian perlulah diletakkan dalam tautan agar mudah dibaca dan diimbas. Elakkan tulis dalam bentuk perenggan kerana sukar bagi panel penemu duga untuk membaca dan mengimbas maklumat penting atau maklumat ditulis terlalu panjang sehingga mencapai 5 baris ayat.
- Tiada pengalaman bekerja
Ramai graduan tidak mempunyai pengalaman bekerja dan perkara ini adalah biasa untuk graduan baru. Sekiranya anda hanya mempunyai beberapa bulan pengalaman kerja contohnya, pernah melalui latihan industri selama beberapa bulan ataupun latihan industri tersebut tertangguh kerana faktor pandemik, contoh tersebut bukanlah contoh yang baik untuk diletakkan dalam resume. Oleh itu, contoh yang baik ialah anda boleh meletakkan pengalaman memegang jawatan dan memimpin kelab, persatuan, badan beruniform, aktiviti kesukarelawanan, kajian yang pernah anda jalankan ketika di universiti, aktiviti sukan dan kokurikulum yang anda sertai dan pencapaian yang diperolehi, terlibat dalam seni mempertahankan diri dan sebagainya. Semua perkara ini adalah kualiti yang anda miliki.
- Pengalaman bekerja negatif
Elakkan letak pengalaman bekerja yang mengundang kontroversi. Ia menjemput persepsi negatif oleh panel yang menemu duga dan panel juga lebih tertarik untuk menyentuh input yang tidak profesional contohnya, anda sebagai seorang muslim pernah bekerja di bar dan kelab malam atau anda juga pernah memegang jawatan dan bertanding dalam parti politik. Selain itu, contoh lain pula ialah anda pernah masuk persatuan yang menyokong kumpulan LGBTQ. Perkara ini menjadi isu kontroversi di Malaysia maka, elakkan perkara, hal atau isu yang mengundang kontroversi dan persepsi negatif panel penemu duga.
- Ketiadaan sijil
Anda boleh letak pengalaman dalam resume sekiranya anda tidak mempunyai sijil sama ada kerana faktor hilang, bencana alam dan sebagainya. Anda boleh meminta penaja menghasilkan semula sijil yang hilang atau rosak sekiranya dibenarkan.
- Kemajuan dan perkembangan
Tunjukkan kemajuan atau perkembangan contohnya, pada tahun 2019 anda pernah menjadi ahli jawatankuasa kemudian pada tahun seterusnya anda dinaikkan pangkat kepada ketua unit kemudian dilantik tahun 2021 anda dilantik sebagai pengarah projek. Anda juga boleh menunjukkan kemajuan dan peningkatan akademik contohnya, anda pernah mendapat gred purata 3.0 ketika Diploma kemudian gred purata akhir ijazah anda pula meningkat kepada 3.4. Pencapaian ini yang menunjukkan kemajuan dan perkembangan anda.