“Saya sudah hantar banyak permohonan kerja tapi sehingga sekarang masih belum dapat sebarang panggilan temu duga.” 😞
Sekiranya anda adalah salah seorang yang mengalami situasi di atas, anda perlu semak kembali resume yang anda hantar semasa permohonan.
Kajian menunjukkan apabila satu tawaran iklan kerja dibuka, bakal majikan akan menerima purata 200-250 resume untuk tujuan permohonan. Daripada 200 resume ini, hanya 6 hingga 10 orang sahaja yang akan dipanggil ke temu duga. Melihat kepada persaingan sengit yang berlaku semasa saringan resume, pastinya kita mahu memastikan, kita menang pada ‘pertandingan’ yang pertama ini. Sehubungan dengan itu, adalah sangat penting untuk kita tahu bagaimana untuk menulis resume secara efektif.
Resume adalah dokumen penting yang memberikan gambaran ringkas mengenai pengalaman, pendidikan, dan kemahiran yang kita miliki kepada bakal majikan. Ia adalah satu-satunya dokumen yang boleh membawa kita untuk membuat tanggapan pertama yang baik sewaktu permohonan dibuat. Bakal majikan menerima banyak resume setiap hari, jadi kita perlu pastikan resume kita menonjol dan mampu memikat perhatian mereka, sekaligus memanggil kita bagi menghadiri temu duga.
1) Resume tidak melebihi 2 muka surat
Langkah pertama dalam menulis resume yang baik adalah menjadikannya ringkas dan padat. Adalah dicadangkan supaya resume yang dihasilkan, tidak melebihi dua muka surat. Majikan biasanya tidak mempunyai banyak masa untuk membaca resume yang terlalu panjang dan majikan kini mengambil masa kurang daripada 10 saat untuk membuat saringan di peringkat pertama. Kini terdapat juga majikan yang menggunakan ‘Applicant Tracking System’ atau ATS yang akan memilih rseume berdasarkan kata kunci yang telah ditetapkan oleh bakal majikan. Jadi pastikan maklumat yang kita berikan relevan, serta menggunakan kata kunci yang tepat.
2) Jelas dan berstruktur bagi setiap kategori
Kedua, nyatakan maklumat penting dengan jelas dan berstruktur. Gunakan tajuk atau ‘header’ bagi kategori, seperti ‘Education’, ‘Work Experience’, dan ‘Skill’. Gunakan format yang mudah dibaca dan berikan penjelasan yang jelas.
3) Pencapaian yang relevan
Ketiga, fokuskan kepada pencapaian dan kemahiran yang berkaitan dengan pekerjaan yang kita pohon. Berikan contoh yang jelas mengenai bagaimana kita telah memberi impak positif dalam projek atau pengalaman sebelum ini dan bagaimana kemahiran kita boleh menyumbang kepada kejayaan syarikat yang sedang kita pohon. Majikan ingin melihat apa yang kita boleh berikan kepada mereka.
4) Bebas daripada kesalahan ejaan dan tatabahasa
Keempat, periksa dan semak semula resume kita sebelum menghantarnya. Pastikan tidak ada kesalahan tata bahasa atau ejaan. Salah satu cara yang baik adalah meminta rakan atau ahli keluarga untuk membantu menyemak resume kita. Kadang-kala, mata orang lain akan dapat melihat kesalahan yang mungkin kita sendiri terlepas pandang.
5) Sesuaikan dengan jawatan yang dipohon
Akhir sekali, jangan lupa untuk sesuaikan resume kita untuk setiap pekerjaan yang kita pohon. Tidak ada satu resume yang sesuai untuk semua jawatan. Ambil masa untuk membaca iklan pekerjaan dengan teliti dan sesuaikan resume kita untuk menunjukkan bahawa kita mempunyai kelayakan dan pengalaman yang mereka cari.
Semoga dengan tip yang diberikan, anda dapat menghasilkan resume dengan baik. Akhir kata, resume adalah alat pemasaran diri kita, jadi pastikan ia mencerminkan potensi kita serta mampu menarik hati bakal majikan kita.
Selamat mencuba.